fbpx

Samun jongkong emas RM5.9 juta: Empat lelaki didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan merompak jongkong emas bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat pedagang emas dalam kejadian di Kompleks Industri Puchong pada September lalu.

Bagaimanapun, keempat-empat tertuduh iaitu Aziz Ahmad Nor, 38, Shah Harizie Zainal, 39, B.Krishore Raam, 30, dan Mohamad Afiq Jamal, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Aziz dan Krishore masing-masing bekerja sebagai mekanik dan penyelenggara pendingin hawa manakala Shah Harizie dan Mohamad Afiq tidak bekerja.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan dua lagi yang telah dituduh didakwa melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun dengan merompak jongkong emas.

Jongkong emas anggaran berat 16.9 kilogram (kg) bernilai RM5.9 juta itu merupakan harta dalam kawalan lelaki itu dan semasa melakukan samun tersebut mereka telah menggunakan parang sebagai senjata.

Kesalahan itu didakwa dilakukan hadapan sebuah kilang Kompleks Industri Puchong, Puchong, di sini pukul 11 pagi pada 13 September lalu.

Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman tidak mencadangkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh berikutan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin selain keseriusan kes yang dilakukan tertuduh-tertuduh.

“Namun sekiranya mahkamah berhasrat membenarkan tertuduh-tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali setiap bulan, tidak menganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Amirul Mukminin yang mewakili tertuduh Aziz dan Krishore merayu agar dua guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Aziz perlu menyara isteri yang mengandung tiga bulan sementara Krishore Raam menanggung ibu berusia 59 tahun bersama isteri yang juga seorang suri rumah dan seorang anak berusia sembilan tahun,” katanya yang hadir bersama peguam, Datin Raj Preet Kaur.

Sementara itu, tertuduh Shah Harizie dan Mohamad Afiq yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana tidak mempunyai kerja tetap selain menjaga ibu bapa.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Syahliza membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 19 November ini.

Semalam Kosmo! melaporkan, polis berjaya memberkas lima lelaki dan dua wanita berusia 27 hingga 60 tahun pada pada 8 hingga 14 Oktober lalu berhubung kes samun jongkong emas bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat pedagang emas di Kompleks Industri Puchong pada 13 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang meletakkan jongkong seberat kira-kira 16.9 kilogram di tempat duduk belakang kenderaan syarikat itu, kira-kira pukul 11 pagi.

Hasil tangkapan itu, polis merampas dua kereta dan peralatan samun selain barang kemas serta sejumlah wang tunai selain polis percaya suspek-suspek menggunakan hasil jual beli jongkong itu untuk membeli kenderaan mewah.

Pada masa sama polis turut memburu dua lagi lelaki bagi membantu siasatan dalam kes samun jongkong emas itu yang mana dua individu diburu itu dikenali Tuan Nazrin Shah Tuan Nasir serta M. Sharuddin Majid masing-masing berusia 28 dan 35 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI