KUALA LUMPUR – Kehadiran beberapa kapal dari China yang dikesan berada di dalam kawasan perairan negara di Laut China Selatan tidak menimbulkan sebarang ketegangan, setakat ini.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, perkara itu masih boleh diselesaikan melalui pendekatan diplomasi antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, kawasan tersebut merupakan tuntutan bertindih di antara lima negara termasuk Malaysia.
“Macam konflik di Laut China Selatan buat masa ini tidak adalah nampak keadaan itu menjadi begitu tegang. Memang betul China sentiasa ada dekat sana, tetapi tindakan mereka tidak agresif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-19 di Auditorium Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.
Zulhelmy berkata, China dilihat lebih banyak menghantar kapal jenis Coast Guard berbanding kapal perang yang mungkin digunakan untuk transit dan sebagainya.
“Coast Guard China ini besar sehingga 5,000 tan, lebih besar daripada kapal perang kita. Jadi, mereka boleh berada di laut sampai 45 hingga 50 hari.
“Tetapi bila kita berjumpa dengan mereka di sana, reaksinya adalah seperti biasa. Cabar dan jawab itu adalah biasa tetapi tidak agresif,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zulhelmy berkata, TLDM berpendirian untuk bertindak meredakan keadaan sekiranya berlaku ketegangan di antara kedua-dua pihak.
Terdahulu, beberapa laporan media melaporkan beberapa kapal perang milik China dikesan berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia, bulan lalu.
Perkara itu mencetuskan kebimbangan dan didakwa boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara. – KOSMO! ONLINE