fbpx

Pulau Pinang putuskan GISBH haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di George Town, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu apabila memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) adalah haram, bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 16 Oktober lalu.

Menurutntya, mesyuarat berkenaan memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa jemaah GISBH dan rangkaiannya didapati masih meneruskan amalan serta amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) yang telah difatwakan sesat.

“Jawatankuasa Fatwa memutuskan, orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal atau berpegang dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya.

“Diharamkan mengajar, menyebar, mengembangkan atau menyokong fahaman, ajaran seumpama ini.

“Orang Islam diharamkan menjadi pengikut atau mengisytiharkan diri, berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Untuk rekod, lima negeri telah mewartakan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat bermula Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang juga mengharamkan memberi apa-apa kemudahan sumbangan, pembiayaan, bantuan atau sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana orang atau pertubuhan, persatuan, syarikat, rumah amal, pusat jagaan atau badan lain untuk tujuan menyebarkan fahaman mempunyai persamaan dengannya.

“Bahkan diharam memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyiar, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan berkaitan. Mengajar, menyeru, mengadakan atau membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian, atau aktiviti.

“Justeru itu, mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan amalan tersebut dengan segera,” katanya.

Tambahnya, daripada sudut muamalah ekonomi pula, GISBH mengamalkan ekonomi yang mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita.

Dalam pada itu, katanya, bagi membantu memulihkan akidah jemaah GISBH, Kerajaan Negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI