fbpx

Peguam gadis tekap sudu panas pada kanak-kanak kemuka representasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI Nurin didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 September lalu atas pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan pengabaian terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun di sebuah pusat jagaan, Ogos lalu. oleh Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Pihak pembelaan yang mewakili seorang gadis akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan pengabaian terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun di sebuah pusat jagaan, Ogos lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Najib Zakaria bersama Doreena Abdullah yang mewakili tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, dalam prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Najib dan Doreena adalah barisan peguam yang dilantik bagi mewakili GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Pada prosiding tersebut, Najib memohon tempoh satu bulan kepada mahkamah untuk meneliti dokumen sebelum sebutan semula kes ditetapkan.

Terdahulu, Najib memohon pertimbangan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi untuk membenarkan jaminan diberikan kepada anak guamnya seperti mana keputusan Hakim, Datin Surita Budin di mahkamah berasingan pada hari pertuduhan 11 September lalu.

“Bagi tujuan penyelarasan, saya berasa sekiranya mahkamah mengambil pendekatan tidak benarkan jaminan, ini menggambarkan satu keadaan agak ganjil kerana pertuduhan yang sama di bawah Sesyen 31(1), tapi satu mahkamah benarkan jaminan dan satu lagi tidak.

“Jadi saya mohon jasa baik mahkamah dengan alasan beliau tidak diwakili, saya mohon jumlah jaminan sama seperti mana yang ditetapkan Surita,” katanya.

Sebelum ini, bagi dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Meor Sulaiman, beliau tidak membenarkan jaminan manakala dua pertuduhan di hadapan Surita dibenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin bagaimanapun masih tidak menawarkan jaminan tetapi jika mahkamah membenarkan dia memohon jaminan sama dengan syarat tambahan tidak menganggu saksi, melapor diri di balai polis dan memberi kerjasama sekiranya dihubungi pihak berkuasa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Pada 12 September lalu, media melaporkan Puteri Nurin Amalin yang merupakan pembantu penjaga kanak-kanak didakwa atas empat pertuduhan iaitu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah sini sekitar bulan Ogos lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, manakala mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 3 Disember depan untuk keputusan representasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI