PETALING JAYA- NCT Land Sdn Bhd (Kumpulan NCT) telah menandatangani perjanjian strategik dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) untuk menggalakkan projek pembangunan perindustrian di NCT Smart Industrial Park (NSIP) melalui teknologi canggih, inovasi dan pembinaan komuniti.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pembangunan komuniti di NSIP bertujuan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan mengembangkan peluang perluasan ke pasaran global.
“Kami yakin dapat membawa NSIP ke peringkat yang lebih maju melalui kerjasama dengan Sidec yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang khususnya dalam ekonomi digital.
“Taman perindustrian ini bukan sahaja memenuhi permintaan infrastruktur perniagaan tetapi turut menetapkan standard sebagai taman berteraskan teknologi pertama negara dengan sifar pelepasan menjelang 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Tambah Ngan Choy, inisiatif utama di bawah pelan perkongsian strategik itu termasuk pencarian padanan perniagaan, yang mana NCT dan Sidec akan menghubungkan syarikat tempatan dengan syarikat antarabangsa secara aktif.
“Inisiatif ini sekali gus membantu memacu pelaburan untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan di samping melengkapkan usaha NSIP mengukuhkan operasi kecekapan dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pengembangan global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, kerjasama dengan NCT adalah sejajar dengan visi syarikat untuk inovasi dan kemampanan seiring dengan perkembangan Selangor yang bergerak ke arah menjadi peneraju dalam ekonomi digital dan penyelesaian bandar pintar.
“Kami sangat teruja untuk menyumbang kepakaran dalam kerjasama ini dan akan terus menyokong NCT untuk pembangunan yang lebih maju,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE