ALOR SETAR – Seperti dijangka, fenomena air pasang besar yang bermula awal pagi tadi telah menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Kedah, dinaiki air.
Tinjauan pada pagi ini mendapati, antara kawasan dinaiki air termasuk Pekan Kuala Kedah, Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota serta beberapa kawasan perumahan antaranya Taman Seri Putra dan Taman Seri Pantai.
Penduduk setempat mendakwa, kawasan tersebut mula dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter bermula 12 tengah malam sebelum surut sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian.
Menurut penduduk Taman Seri Putra, Mariati Mansor, 52, peningkatan banjir kali ini agak cepat kerana fenomena air pasang besar itu turut ‘bertembung’ dengan hujan yang bermula tengah malam tadi.
“Berbanding tahun-tahun sebelumnya, paras air kali ini memang meningkat agak cepat. Mujur sebelum ini pihak berkuasa sudah memberi amaran awal mengenai kejadian banjir yang berlaku maka dapatlah kami buat persiapan sedikit sebanyak untuk menghadapi situasi ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk setempat, Harun Abu Hassan, 48, memaklumkan, dia terlebih dulu membuat penghadang di depan rumahnya bagi mengelakkan air daripada masuk terlalu laju hingga membawa sampah sarap ke dalam rumah.
“Dalam keadaan sekarang, kami sentiasa berjaga-jaga. Setakat ini kami bersyukur kerana tiada ribut atau angin kencang yang menyusuli fenomena ini,” katanya.
Dalam pada itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zain berkata, menasihatkan orang ramai agar memantau keselamatan anak masing-masing supaya tidak menjadikan fenomena itu sebagai ‘pesta’ air. – KOSMO! ONLINE