fbpx

21 pengikut Syiah ditahan di Pendang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OPERASI Khas Syiah menahan 21 penduduk dipercayai pengikut Syiah yang berhimpun meraikan hari lahir Imam Hasan Al-Askari di Tobiar di Pendang, Selasa lalu.

ALOR SETAR – Sekumpulan 21 penduduk tempatan dipercayai pengikut fahaman Syiah ditahan dalam operasi membanteras ajaran sesat itu di Kampung Alor Berala, Tobiar dekat Pendang, Selasa lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin berkata, operasi melibatkan pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah mendapat maklumat berkaitan satu perhimpunan memperingati hari kelahiran Imam Kesebelas pengikut Syiah, Imam Hasan Al-Askari.

“JHEAIK menerima maklumat terdapat pengikut-pengikut Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah Ke-11, Imam Hasan Al-Askari bertempat di rumah Abdullah Hassan yang didakwa sebagai ketua Syiah di Kedah di Kampung Alor Berala, Tobiar, Pendang.

“Sehubungan itu, JHEAIK bersama PDRM mengadakan Operasi Khas Syiah pada 15 Oktober pada pukul 9.50 malam. Setelah melakukan pemeriksaan, Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) JHEAIK menahan 21 orang iaitu enam  lelaki, sembilan  perempuan dan enam kanak-kanak,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya turut merampas kitab-kitab dan barangan yang dikaitkan dengan ajaran tersebut.

“Mereka melibatkan kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun, remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun dan dewasa antara 33 hingga 77 tahun. Semuanya dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Tambahnya, mereka disiasat di bawah Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

“Pada 15 Jun 2014, ajaran dan fahaman Syiah diwartakan bercanggah dan menyeleweng dari ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam khususnya di negeri Kedah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI