PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai tidak sabar menunggu pembentangan Belanjawan 2025 yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang ini.
Bagaimanapun, dalam keterujaan menantikan ‘durian runtuh’ itu, di media sosial mereka sempat berteka-teki mengenai warna baju Melayu yang bakal digayakan oleh Anwar nanti.
Semakan Kosmo! di Facebook dan aplikasi X, rata-ratanya meneka warna merah jambu dan hijau yang bakal menjadi pilihan Perdana Menteri ketika menyampaikan belanjawan ketiga Kerajaan Madani.
“Aku yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pakai warna pink (merah jambu) bentang bajet hari ini,” kata Asyraf.
“Selain teka warna baju Melayu penyimpan mohor besar, warna baju PM (Perdana Menteri) juga ternanti-nanti setiap kali bentang belanjawan tahunan,” kata Azhar.
“PM pakai baju Melayu warna hijau kali ini, hidup Madani,” ujar Sayuti.
Sementara itu, di Facebook, Kementerian Kewangan, pihaknya turut mengajak orang ramai untuk meneka warna pilihan pakaian Anwar yang juga Menteri Kewangan.
“Apakah warna pilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pembentangan Belanjawan 2025?,” tulis hantaran tersebut.
Dalam hantaran sama, disertakan gambar Perdana Menteri dilihat segak berpakaian baju Melayu lengkap warna biru muda berserta samping ketika membentangkan Belanjawan 2023.
Bagi Belanjawan 2024 pula, Anwar memilih untuk menggayakan baju Melayu warna ungu muda (lilac) ketika hadir ke Parlimen. – KOSMO! ONLINE