INDUSTRI seni suara tempatan tidak pernah kering dengan kehadiran pendatang baharu. Semuanya tampil dengan alasan mahu mempertaruhkan bakat dalam bidang nyanyian selain didorong minat melangit terhadap muzik.
Bagi penyampai radio Adam Izzy, namanya sebagai penyanyi mungkin agak asing dalam kalangan peminat dunia nyanyian tanah air.
Namun, atas minat dan keyakinan terhadap bakat dalam diri, jejaka berketurunan Cina itu nekad terjun ke arena seni suara tempatan.
Sebut sahaja nama-nama penyanyi bukan berbanga Melayu, umum pasti cukup mengenali Francisca Peter, Jaclyn Victor dan Vince Chong. Adam juga seboleh-bolehnya mahu dikenali dan diterima baik seperti mereka.
Pakej
Melanjutkan bicara, Adam yang muncul sebagai penyanyi pada usia 28 tahun mengakui, kehadirannya mungkin agak lewat, namun dia mempunyai sebab tersendiri.
“Sebenarnya untuk tempoh beberapa tahun ini, saya belajar banyak perkara terutamanya tentang muzik.
“Sebagai seorang artis saya perlu mempersiapkan diri untuk menjadi penyanyi yang ada mempunyai ‘isi’.
“Jadi, baru sekarang saya berani untuk memperkenalkan diri sebagai penyanyi,” katanya.
Adam juga tidak mahu dikenali sebagai penyanyi semata-mata. Sebaliknya dia ingin menjadi seorang penghibur yang memiliki pakej lengkap sebagai anak seni.
“Saya mahu orang lihat saya sebagai penyanyi serba boleh. Selain daripada menyanyi, saya juga merupakan seorang komposer lagu,” jelas Adam.
Sebelum bergelar penyanyi, Adam merupakan seorang penyampai radio di konti Hitz.fm dan banyak membuat suara latar untuk iklan komersial.
Menanti
Selepas tampil sebagai penyanyi, Adam ingin menjadikan muzik sebagai kerjaya tetapnya.
“Sejak kecil saya telah didedahkan dengan muzik. Saya juga boleh bermain piano. Dahulu sekadar hobi tetapi sejak mencecah usia 25 tahun, saya sedar muzik boleh dijadikan satu kerjaya,” tegasnya.
Memiliki kebolehan menggubah lagu, Adam kini muncul dengan single pertama duet bersama penyanyi Mimifly yang berjudul Menanti.
Lagu berentak R&B tersebut turut mendapat sentuhan komposer MFMF dan berkisarkan pengalaman sendiri dalam percintaan.
“Menanti ditulis berdasarkan kisah cinta saya bersama tunang.
“Kami sudah kenal sejak 12 tahun. Hubungan kami juga pernah putus selama setahun.
“Jadi emosi saya selama setahun itu dimasukkan dalam lagu Menanti,” katanya.
Adam yang sangat meminati muzik R&B juga menyifatkan jalur sebegitu belum diterokai secara meluas oleh penyanyi tanah air.
Meletakkan harapan tinggi untuk diterima peminat, Adam yakin melodi dan rentak lagu Menanti yang segar dapat menusuk ke hati peminat.
“Saya tidak mahu meletakkan harapan dan angan-angan setinggi gunung. Semuanya berbalik pada penerimaan peminat terhadap saya, seorang penyanyi bukan berbangsa Melayu ini
“Apa yang pasti, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan kerja seni yang terbaik untuk semua,” katanya menutup kata.