SABAK BERNAM – Seramai 33 penduduk Kampung Parit 16 Tanjung Medan dan Kampung Belia 2, Sungai Panjang di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas ban berdekatan sebuah ladang di kawasan itu pecah.
Kesemua mangsa daripada sembilan keluarga itu kini ditempatkan di Dewan Hala Cara Baru.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pemindahan mangsa banjir itu dilakukan susulan kejadian ban pecah yang memasuki Sungai Bernam kelmarin.
Jelas beliau, kejadian itu mengakibatkan air melimpah ke kawasan kebun dan rumah penduduk semalam.
“PPS itu mula dibuka pada pukul 5.30 petang semalam selepas kejadian ban pecah berlaku pada Rabu (kelmarin). Pecahan mangsa banjir dipindahkan di PPS itu terdiri daripada seramai 15 lelaki dan 18 wanita,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ban Sungai Bernam yang dilaporkan pecah turut menyebabkan Jalan Sungai Panjang – Tanjong Malim tidak boleh dilalui semua kenderaan akibat dinaiki air.
Dalam pada itu, tinjauan di jeti nelayan Kampung Tok Muda, Klang mendapati, fenomena air pasang ekstrem menyebabkan air laut melimpah ke buah kedai sekitar jeti tersebut hingga paras 0.2 meter bermula pukul 6 pagi.
Bagaimanapun, situasi tersebut tidak memberikan kesan kepada stesen janakuasa elektrik dan rumah penduduk di sekitar kampung berkenaan. – KOSMO! ONLINE