TAMPIN – Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 4, Jalan Felda Bukit Jalor, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa berusia 17 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari sekolahnya di Ayer Kuning Selatan menghala ke rumahnya di Felda Bukit Jalor, Gemencheh.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar tiang elektrik di bahu jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tampin” katanya di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -KOSMO! ONLINE.