PUTRAJAYA – Safi Shayla telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR) bagi aktiviti Pound Workout melibatkan peserta wanita teramai bersempena sambutan Hari Sukan Negara di sini baru-baru ini.
Program yang bertemakan Sembur, Pound dan Slay! itu adalah hasil kerjasama PoundwithHanis dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi memperkasakan wanita dalam bidang sukan.
Sebanyak 1,270 wanita telah menyertai program tersebut walaupun dalam keadaan hujan lebat.
Pengarah Kreatif di Mediabrands Content Studio, Yan Ghazaly berkata, acara tersebut adalah selari dengan misi Safi Shayla untuk membantu wanita berhijab terus aktif untuk kekal yakin dan segar dengan menggunakan produk Safi Shayla Hijab Hair Mist.
“Kami akan terus menyokong wanita berhijab kekal aktif dalam sukan,” katanya pada majlis perasmian program tersebut.
Selain itu, pada majlis berkenaan Safi Shayla telah menyumbang RM5 daripada yuran penyertaan setiap peserta kepada Yayasan Kanser Payudara, sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang diraikan pada bulan Oktober setiap tahun.
Para peserta turut memakai pakaian berwarna merah jambu pada hari acara Pound Fitness berlangsung sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini. -KOSMO! ONLINE