fbpx

Apa ada untuk B40, M40 hari ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GOLONGAN M40 antara yang terkesan dengan kenaikan pelbagai kos barangan dan perkhidmatan terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Jutaan rakyat pelbagai peringkat mengharapkan Belanjawan 2025 yang dibentangkan hari ini akan memberi sesuatu yang menggembirakan terutama kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara yang diharapkan ialah kerajaan tidak menarik subsidi yang telah diberikan kepada golongan B40 selain memberi fokus kepada kumpulan M40 termasuk usaha untuk menangani kos sara hidup di kawasan bandar.

Bagi golongan B40, rata-rata mengakui penyelarasan beberapa subsidi yang dibuat kerajaan sebelum ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada mereka dari segi perbelanjaan harian.

Turut meletakkan harapan tinggi kepada Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ialah golongan seperti petani, pelajar, peneroka, nelayan dan pekerja kedai makan.

Pekerja kampung, Rahim Ismail, 63, berkata, dia tidak mengharapkan sesuatu yang besar, sebaliknya berharap agar tidak ada lagi penyelarasan subsidi seperti yang berlaku ke atas minyak diesel sebelum ini.

“Bantuan-bantuan asas se­perti persekolahan dan bantuan tunai itu biasanya memang ada. Cuma kami takut jika kerajaan membuat keputusan untuk menarik balik subsidi kepada perkara-­perkara lain.

“Cukuplah pelarasan subsidi diesel sebelum ini yang telah menyebabkan barangan keperluan harian naik mendadak.

“Dahulu harga beras tempatan RM28 untuk 10 kilogram sudah boleh dapat, sekarang semuanya atas RM35. Bawang dan biskut pun naik harga, itu belum lagi barang lain,” katanya.

Pekerja sektor swasta, Sayuti Alam, 42, pula mengharapkan lebih banyak inisiatif diberikan oleh kerajaan kepada golongan M40 sepertinya terutama bagi mereka yang mempunyai anak anak.

Katanya, perkara itu penting memandangkan ramai golongan M40 yang bekerja dalam sektor swasta turut terkesan de­ngan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan mungkin boleh memberikan bantuan berbentuk subsidi makanan selain pendidikan dan perumahan kepada golongan seperti kami.

“Dalam masa sama, pemoto­ngan cukai bagi perkara-per­kara lain juga boleh diberikan,” ­katanya.

Dalam pada itu, golongan pelajar turut menuntut kepada kerajaan agar bantuan serta subsidi pendidikan yang diberikan kepada mereka sebelum ini dapat diteruskan selain diberikan tambah nilai.

Pelajar kursus Diploma Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ahmad Zaffran Hakimi, 21, berkata, dia sendiri berharap pemberian baucer RM100 dapat dinaikkan kepada RM300 untuk pelajar.

“Baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli keleng­kapan pembelajaran seperti buku dan alat tulis.

“Jika boleh, baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli komputer riba. Ia merupakan gajet yang amat diperlukan pada saat ini,” katanya.

Pelajar sebuah kolej kemahiran awam di Seksyen 19 di sini, Zaida Azmi, 25, pula mencadang­kan agar kad petrol diperkenalkan kepada penuntut kolej latihan dan universiti sepertinya.

“Harap dalam Belanjawan 2025, golongan pelajar diberikan kad khas untuk membeli minyak petrol sama ada bagi kenderaan motosikal mahu pun kereta.

“Perkara ini penting kerana motosikal merupakan antara pengangkutan utama bagi pelajar sama ada di kolej mahupun universiti,” ujarnya.

Turut mengharapkan bantuan adalah golongan nelayan yang mengakui kebajikan mereka ­perlu terus diperkasa menerusi Belanjawan 2025.

Mohd. Yusof Awang, 51, berkata, sebahagian penjimatan pelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan sejak tiga bulan lalu perlu disalurkan semula demi manfaat golongan nelayan sepertinya.

“Kami harap kerajaan dapat menambah insentif buat nelayan hasil penjimatan penyasaran subsidi diesel yang mula dilaksanakan pada 10 Jun lalu.

“Sebagai contoh elaun sara diri nelayan sebanyak RM300 sebulan yang dinikmati pada waktu ini harap boleh dinaikkan sedikit lagi,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI