fbpx

Wanita UK lega jatuh sakit di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik di Tiktok.

PETALING JAYA – Seorang wanita dari United Kingdom memuji kecekapan perkhidmatan kesihatan di Malaysia selepas menjalani pembedahan kecemasan di sebuah hospital di sini baru-baru ini.

Melalui video yang dimuat naik di TikTok, wanita itu menceritakan pengalaman menjalani pembedahan apendiks dan meluahkan rasa kagum terhadap sistem perubatan Malaysia yang dianggap pantas dan cekap.

“Sembilan hari lalu, saya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan di sebuah hospital di Malaysia. Pada awal pagi Rabu, saya terjaga dengan rasa sakit perut yang teruk.

“Saya menyangka (sakit) akan hilang, tetapi ia makin bertambah sehingga muntah dan menggigil,” katanya menerusi video tersebut.

Menurut wanita itu, dia tiba di hospital pada pukul 11 pagi. Dalam tempoh dua jam selepas ketibaannya, dia sudah menjalani beberapa ujian termasuk ujian darah, sampel air kencing dan a CT scan.

Ujian itu mengesahkan bahawa wanita asing tersebut mengalami apendiks yang memerlukan pembedahan segera.

“Saya sangat takut kerana perlu menjalani pembedahan memandangkan tidak pernah melaluinya sebelum ini. Menakutkan kerana saya berada jauh hanya ditemani suami, Sam dan anak-anak,” tambahnya.

Proses pembedahan berjalan lancar yang mana wanita itu masuk ke dalam bilik bedah sekitar pukul 5 petang dan selesai tiga jam kemudian iaitu kira-kira sembilan jam selepas tiba di hospital.

Wanita itu juga memuji kemudahan hospital yang membolehkan dia dan keluarganya menaik taraf bilik mereka kepada bilik VIP yang dilengkapi dengan ruang makan, ruang tamu, dan bilik tidur yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Namun, selepas lima hari, wanita tersebut mengalami alahan terhadap antibiotik yang diberikan menyebabkan dia dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Walau bagaimanapun, dia kini telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah untuk rawatan susulan.

“Pengalaman saya dengan penjagaan kesihatan di Malaysia adalah hebat, dan saya rasa bersyukur perkara ini berlaku di sini,” katanya.

Sementara itu, dia turut memberitahu jumlah kos rawatan termasuk pembedahan, ubatan dan penginapan Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak RM40,582.

“Kesemuanya dibayar oleh syarikat insurans dan kami tidak perlu membayar walaupun satu sen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI