SHAH ALAM – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mempergiatkan promosi penggunaan kayu sebagai satu gaya hidup lestari di negara ini.
Pengerusi MTIB, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, ini bagi memastikan sasaran jualan tempatan sebanyak RM20 bilion dapat dicapai pada tahun depan selaras Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) 2021-2025.
Kata beliau, program yang akan dan sedang dilaksanakan termasuk kempen promosi di media massa dan media sosial selain penyertaan dalam pameran tempatan dan antarabangsa serta penganjuran Pameran Perabot dan Gaya Hidup Berasaskan Kayu atau sinonim dengan Wood & Lifestyle Fair (WLF).
“MTIB menyasarkan impak yang lebih meluas bagi peserta WLF 2024 pada kali ini terutamanya dalam memperkasa pengetahuan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berkaitan minat, trend dan selera pasaran semasa.
“Selain itu, menggalakkan pembangunan reka cipta hasil perkayuan yang berinovasi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan WLF Wilayah Tengah di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Pembangunan Industri MTIB, Farydatul Nazly.
Larry Sng mempercayai perkembangan teknologi serta pemasaran termasuk perniagaan atas talian akan dapat mempercepatkan lagi pertumbuhan industri ini.
Tambah beliau, pemerkasaan industri perkayuan negara sentiasa menjadi keutamaan kepada MTIB dan Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam menghadapi isu dan cabaran temasuk isu pasaran tempatan.
Jelasnya, industri perkayuan merupakan salah satu industri yang penting dengan Malaysia telah menduduki tangga ke-10 pengeksport perabot dunia pada tahun lalu.
“Eksport produk perkayuan pada tahun lalu adalah sejumlah RM21.8 bilion dengan segmen perabot telah menguasai syer pasaran 41 peratus bernilai RM9.1 bilion.
“Destinasi utama eksport perkayuan termasuk perabot pada tahun sama adalah Amerika Syarikat dikuti oleh China, Jepun, Singapura, Jepun, Australia dan United Kingdom.
“Justeru, kita menyasarkan sebanyak RM28 bilion nilai eksport menjelang 2025 seperti direncanakan dalam NTISP, ” ujarnya.
WLF yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Central I-City di sini menghimpunkan 16 usahawan dengan melibatkan 26 reruai kesemuanya dengan sasaran jualan RM1juta.
Sepanjang lapan tahun pelaksanaan WLF bermula 2016 telah berjaya menjana jualan melebihi RM55 juta. – KOSMO! ONLINE