fbpx

‘Banjir di KL, Perak dan P. Pinang sana tiada pembalakan pun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – “Banjir berlaku di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang juga. Di sana tiada pembalakan pun.”

Demikian reaksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung tindakan pihak tertentu yang mengaitkan banjir di beberapa kawasan di Kedah dengan kegiatan pembalakan.

Menurut beliau, setiap kali berlaku banjir akan ada pihak tertentu menangguk di air keruh kononnya kerajaan pimpinannya melaksanakan kegiatan pembalakan.

“Terdapat satu hantaran di media sosial oleh Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia Kedah kononnya lesen pembalakan di sebuah kawasan dalam negeri ini diluluskan pada 2023. Hantaran itu tak betul kerana lesen pembalakan itu diluluskan pada 2016 sebelum saya menjadi Menteri Besar.

“Tahun 2023 yang tertera dalam gambar itu pula sebenarnya adalah tahun kelulusan lesen tebangan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Warga Emas peringkat negeri di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi memberitahu, apabila lesen pembalakan diluluskan pada 2016, syarikat terlibat akan membayar premium dan membuat tandaan sempadan kawasan pokok yang mahu ditebang.

Ditanya mengenai dakwaan pelaksanaan pembalakan secara ‘cuci mangkuk’ di kawasan hutan di Kedah, beliau berkata, JPNK akan menjelaskan perkara itu kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam siri lawatan rasmi beliau ke Kedah minggu depan.

“Saya difahamkan JPNK akan beri penjelasan kepada Nik Nazmi yang dijadualkan turun ke Hutan Simpan Rimba Teloi di Baling minggu depan.  Khabarnya Mohd. Sobri juga akan dijemput untuk bersama Nik Nazmi dalam lawatan berkenaan. Jadi beliau boleh pertahankan dakwaan yang dibuatnya dalam siri lawatan itu nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI