KUALA TERENGGAN – Bekalan makanan dan keperluan asas sebanyak 4.4 tan untuk kegunaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula akhir bulan ini mula dihantar ke Pulau Redang, Kuala Nerus hari ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abdul Manan berkata, bekalan makanan dan keperluan asas terbabit mencukupi untuk keperluan 300 keluarga di pulau peranginan tersebut sehingga berakhirnya MTL pada bulan Mac depan.
“Penghantaran membabitkan beras, minyak masak, tepung gandum dan susu formula bayi.
“Bekalan makanan dan keperluan asas sama juga akan dihantar untuk keperluan penduduk Pulau Perhentian Besut pada masa terdekat,” katanya ketika memantau proses penghantaran barang keperluan itu di Jeti Jabatan Laut Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mazura memberi jaminan bekalan makanan dan barang keperluan untuk mangsa banjir yang kini ditempatkan di pengkalan hadapan dan pulau-pulau seluruh negeri ini mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh.
Beliau berkata, kesemua barang keperluan tersebut disimpan di 155 pengkalan hadapan dan 10 mini depo di seluruh Terengganu.
“Begitupun, JKM akan terus memantau dan menambah bekalan dengan bantuan agensi berkaitan sekiranya berlaku gangguan kekurangan bekalan di mana-mana kawasan bencana kelak.
“Penambahan bekalan akan dilakukan termasuk dengan perkhidmatan udara,” katanya. – KOSMO! ONLINE