AMPANG JAYA – Penduduk Taman Melawati yang terjejas dengan insiden tanah runtuh di Jalan E6 di sini bakal kemukakan tuntutan ganti rugi kepada pihak berkuasa.
Seorang penduduk, Shireen Nik Ibrahim, 54, berkata, dia dan mangsa yang lain akan memilih satu tarikh sesuai untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai tuntutan tersebut.
“Kami akan berbincang dahulu dengan kesemua penduduk terjejas, kita akan buat tuntutan untuk sebarang kerugian. Kerugian yang dialami bukan sahaja dari segi harta benda, tetapi melibatkan kerugian masa, tenaga dan lain-lain.
“Selepas selesai dapatkan maklum balas penduduk, kita akan bawa ke peringkat seterusnya iaitu kepada pihak majlis (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan juga pihak berkuasa yang lain,” katanya kepada Kosmo! di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jalan E5, Taman Melawati, di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Shamsiah Saleh, 51, memberitahu, ada daripada mereka terjejas pendapatan disebabkan tidak dapat bekerja selepas terkesan dengan bencana yang berlaku.
“Penduduk yang duduk di sini pun ada yang kerja harian, bila jadi begini tak dapat pergi kerja, jadi pendapatan pun terjejas,” katanya.
Tambahnya, insiden runtuhan tanah di tebing setinggi 30 meter berhampiran kediaman mereka pada pagi kelmarin itu merupakan kejadian kali ketiga terbesar sepanjang tempoh dua tahun lalu.
“Harap pihak berkuasa ambil cakna terhadap aduan dan apa yang terjadi, siasat betul-betul dan bukan sekilas pandang. Bila dah jadi macam ini baru nak buka mata, baru satu Malaysia tahu,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan kepada penduduk jika mahu membuat sebarang tuntutan, termasuk meminta pampasan kerana terjejas dengan kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, kelmarin.
Pada masa sama, Amirudin meminta pemilik atau pemaju lot hartanah di lokasi kejadian mengambil tanggungjawab susulan bencana berkenaan.
Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau kerja dilaksanakan terutama apabila ada aduan dan laporan berkait risiko. – KOSMO! ONLINE