fbpx

Alam Flora kini berwajah baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Alam Flora memakai uniform yang baharu pada majlis pelancaran Alam Flora wajah baru di Fasiliti Inovasi Kitar Semula. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), hari ini melancarkan jentera-jentera pengurusan sisa pepejal yang baru serta pakaian seragam kakitangan dan kontraktor yang direka semula.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Badrulhisyam Fauzi berkata, wajah baru Alam Flora yang menampilkan sebanyak 305 unit jentera serta uniform direka semula itu melibatkan pelaburan sebanyak RM160 juta.

Selain itu katanya, Alam Flora turut memperkenalkan aplikasi Super-App Recyclink sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan, penerapan teknologi terkini dan juga amalan lestari.

“Pelancaran ini merupakan komitmen kami untuk melabur dalam jentera moden dalam usaha memastikan kami boleh melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

“Pelancaran sebanyak 305 unit jentera baru itu merupakan fasa pertama yang akan digunakan di tiga konsesi iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Jentera dan Pakaian Seragam Baru dan Super-App Recyclink di Fasiliti Inovasi Kitar Semula, di sini hari ini.

Kenderaan Alam Flora pada Majlis pelancaran Alam Flora wajah baru di Fasiliti Inovasi Kitar Semula. – Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Badrulhisyam berkata, naik taraf tersebut melibatkan semua kendalian Alam Flora tetapi akan dilaksanakan mengikut dua fasa yang mana penghantaran semua jentera baru itu akan dijalankan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Jumlah sampah yang diuruskan di tiga-tiga kawasan ini adalah lebih kurang 4,100 tan sehari, jadi sudah tentu jumlah sampah yang diuruskan adalah mengikut penjanaan daripada premis yang dikendalikan Alam Flora.

“Justeru, dengan peralatan baru ini, kerja-kerja pengurusan sampah dijangka boleh dilakukan dengan lebih cepat dan mengikut jadual yang ditetapkan dengan lebih efisien,” katanya.

Kakitangan Alam Flora memakai uniform  baru pada majlis pelancaran Alam Flora wajah baru di Fasiliti Inovasi Kitar Semula. – Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Sementara itu, ditanya sama ada Alam Flora merancang untuk menggunakan jentera elektrik (EV), beliau berkata, teknologi terkini yang digunakan dalam jentera baru lebih sesuai dengan kerja-kerja pembersihan sisa sampah yang menggunakan lebih banyak tenaga.

“Jika dibandingkan sebelum ini, kenderaan Alam Flora agak lama. Jentera baru masih belum menggunakan EV, bagaimanapun kita telah menaik taraf kepada standard Euro 4, Euro 5.

“Sudah tentu EV dipertimbangkan ketika ini tetapi, kami perlu memastikan bahawa teknologi berkenaan telah matang sebelum kami menggunakannya kerana keperluan untuk kita adalah lebih bersifat perindustrian,” katanya.

Abu Kassim Mohamed (tengah) dan Badrulhisyam (kiri) merasmikan pelancaran Alam Flora wajah baru di Fasiliti Inovasi Kitar Semula bersama Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh (kanan). – Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Dalam pada itu, Pengerusi Alam Flora, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pelancaran jentera serta uniform baru itu merupakan satu transformasi positif yang mana Alam Flora mengorak langkah lebih jauh lagi sebagai pemain utama dalam pengurusan sisa pepejal negara.

“Pelancaran ini mencapai matlamat pembangunan mampan ataupun lebih dikenali dengan SDG atau Sustainable Development Goals yang mana, menjangkaui perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang sedia ada ataupun Going Beyond Waste Management.

“Dengan asipirasi baru ini,  Alam Flora kini mengorak langkah positif menerusi tansformasi wajah barunya dalam menaiktaraf penyelesaian pengurusan sisa pepejal dan pengurusan alam sekitar yang lebih menyeluruh, cekap dan setanding dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, transformasi tersebut bukan sahaja menguntungkan orang ramai dengan peningkatan dari segi mutu perkhidmatan, malah turut menjaga alam sekitar dengan penggunaan aset jentera pengurusan sisa pepejal terkini yang mesra alam.

“Selain itu, pihak Alam Flora juga mempertingkatkan lagi usahanya dalam membudayakan amalan kitar semula menerusi pengenalan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang pelbagai iaitu Super-App Recyclink yang akan memudahkan lagi orang ramai berurusan dengan kami dengan hanya di hujung jari.

“Dengan ini, kami akan dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk menjalankan aktiviti kitar semula serta membantu mencapai sasaran pihak kerajaan iaitu kadar kitar semula sebanyak 40 peratus menjelang 2025,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI