fbpx

Kejadian lubang benam tidak merebak ke lokasi lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tular di media sosial kejadian lubang benam yang mengakibatkan tayar sebuah bas sekolah tenggelam.

GEORGE TOWN – Pasukan Indah Water Konsortium (IWK) mengesahkan tidak berlaku kebocoran di kawasan lain di sekitar lokasi kejadian lubang benam di Taman Sri Nibong, Pantai Jerejak, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Fahmi Zainol berkata, kejadian lubang benam itu juga tidak merebak ke lokasi lain dan pengesahan itu dibuat setelah pasukan IWK menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan lubang benam tersebut semalam.

“Pemeriksaan serta pemantauan lanjut akan dijalankan oleh pasukan IWK secara berterusan bagi memastikan kejadian lubang benam tidak merebak atau berbahaya kepada penduduk setempat.

“Berdasarkan laporan awal hanya kawasan di lubang benam ini sahaja berbahaya, manakala kawasan sekitar masih selamat kerana memang tiada sebarang pergerakan atau paip kumbahan yang bocor milik IWK di situ,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial mengenai kejadian lubang benam yang mengakibatkan tayar sebuah bas sekolah tenggelam di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, kira-kira pukul 8 pagi semalam, pihak JKR daerah Barat Daya menerima laporan bahawa terdapat lubang benam (sinkhole) di Jalan Lebuh Bukit Kecil 3 dengan lubang sebesar 10 meter dan kedalaman tiga meter.

Katanya, siasatan awal oleh pihak JKR mendapati terdapat tanah aktif masih terhakis dan limpahan air keluar melalui lubang tersebut.

“Sejurus itu pihak JKR telah memasang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dan telah menutup kawasan tersebut. IWK telah mula memasuki tapak melaksanakan kerja-kerja kecemasan pada pukul 11.30 malam semalam dan pagi ini, IWK telah berada di tapak bagi mengkaji kaedah mitigasi. Kerja-kerja pembaikan paip dijangka siap dalam tempoh tujuh hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI