fbpx

Didenda RM3,500 ceroboh kebun, curi buah nangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja welding (kimpalan) dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menceroboh kebun dan mencuri lapan buah nangka di Mantin, kelmarin. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

SEREMBAN – Seorang pekerja welding (kimpalan) dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menceroboh kebun dan mencuri lapan buah nangka di Mantin, di sini, kelmarin.

Majistret Syed Farid Syed Ali menjatuhkan hukuman denda ke atas Sharwani Khan Jahardad, 34, sebanyak RM2,000 dan dua bulan penjara jika gagal menjelaskan bayaran bagi tuduhan melakukan pencerobohan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan masuk ke dalam kebun kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Kampung Baru Mantin, 15 Oktober lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, dan tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), R. Kanapathy memohon denda minimum berikutan sudah berkahwin serta menanggung ibu yang menghidap sakit strok.

Di kamar berlainan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, tertuduh telah didapati mencuri lapan buah nangka milik seorang lelaki berusia 35 tahun bernilai lebih kurang RM250 pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama dengan pertuduhan sebelumnya.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan tertuduh diwakili Peguam YBGK, Roslaili Alias memohon hukuman denda, selain sudah insaf serta mempunyai seorang anak.

Nurul Saqinah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 ke atas tertuduh dan sekiranya gagal bayar denda berkenaan, tertuduh berdepan hukuman empat bulan penjara. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI