JITRA – Seorang kontraktor dan anak saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, pada bulan lalu.
Tertuduh, Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd. Asyraf Idris, 26, pekerja kilang mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Huda Idris.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh. Mereka dilihat tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki terbabit didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim; Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Rizal Fadzil serta Nasruna Anhar Nordien manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kes ditetapkan sebagai sebutan semula kes pada 5 Januari 2025.
Sementara itu, anak sulung Sabari, Suraiya Izzaty Sabari, 29, tidak mengikuti prosiding pertuduhan dan dia bersama ahli keluarga dan peguam pemerhati dilihat menanti dua tertuduh keluar dari bangunan mahkamah.
Terdahulu, dua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki van polis kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.
Sementara Suraiya tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 7.45 pagi.
Dia dilihat sebak dan mengalirkan air mata sebaik melihat dua tertuduh tiba dan memasuki bangunan mahkamah
Sebelum ini suspek yang merupakan seorang kontraktor dan anak saudaranya ditahan polis sejak 27 September lalu bagi membantu kehilangan Sabari yang dilaporkan hilang sejak awal September.
Kedua-dua mereka kemudiannya mengaku telah mencampak warga emas itu ke Sungai Padang Terap, di sini dalam keadaan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Gerakan mencari jasad mangsa seterusnya dilakukan bermula 30 September lalu, namun ditamatkan tiga hari kemudian.
Kehilangan itu dianggap misteri kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, dekat sini Jumaat lalu, namun pesara Felcra itu tiada. – KOSMO! ONLINE