fbpx

Guni beras Siam berisi 315kg dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin menunjukkan guni beras berisi dadah yang berjaya dirampas pasukannya 12 Oktober lalu.

KAJANG – Sindiket pengedaran dadah tumpas selepas kegiatan membawa masuk bekalan syabu seberat 315 kilogram (kg) dalam guni beras tertera tulisan Siam melalui Pantai Timur berjaya dihidu pasukan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Selangor melancarkan serbuan di tempat letak kereta di sebuah restoran makanan segera di Kajang Perdana di sini pukul 8.38 malam, 12 Oktober lalu.

Dalam serbuan berkenaan, pihaknya menahan seorang suspek yang berperanan sebagai penghantar atau ‘runner’ membawa masuk bekalan itu.

“Hasilnya, kita berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang memandu sebuah kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Honda CRV.

“Hasil pemeriksaan kenderaan berkenaan, kita menemui 15 guni beras dengan setiap satu mengandungi sebanyak 20 bungkusan dadah disaluti label teh herba disyaki syabu di tempat duduk penumpang belakang dan bahagian boot kereta,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini, pagi tadi.

Ujarnya, siasatan lanjut mendapati kesemua rampasan itu dianggarkan seberat 315 kilogram dengan nilai RM10 juta yang mana ia boleh digunakan oleh seramai 1.58 juta penagih dadah.

“Siasatan lanjut mendapati suspek berasal dari Pantai Timur dan berperanan sebagai penghantar menerima upah RM10,000 untuk sekali penghantaran.

“Suspek juga menggunakan modus operandi membawa masuk bekalan dadah itu dari sebuah negara jiran melalui Pantai Timur dan menggunakan kereta CRV sebagai tempat menyimpan bekalan tersebut dan mengedar untuk pasaran Lembah Klang,” ujarnya.

Menurut beliau, sindiket terbabit aktif sejak awal tahun ini manakala suspek didapati memiliki lima rekod lampau kes dadah dan satu kes jenayah.

Selain itu, ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif methamphetamine.

“Suspek direman selama enam hari bermula 12 hingga esok mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung sumber suspek menerima pesanan dadah tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI