PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menggesa kerajaan dan pemain industri untuk mempertingkatkan kerjasama dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negara menerusi Belanjawan 2025 esok.
Menurut Pengurus Besar Sektor Strategi Korporat PKPS, Muhammad Gaddafi Musli, kerjasama ini penting bagi memastikan akses kepada makanan yang stabil untuk semua lapisan masyarakat, terutama ketika menghadapi bencana.
Katanya, Malaysia pada hakikatnya masih bergantung kepada makanan import.
“Pada tahun 2023, negara kita mengimport makanan bernilai RM71.6 bilion dari serata dunia. Ini jelas menunjukkan bahawa kapasiti pengeluaran makanan tempatan kita masih belum mencukupi untuk memenuhi kehendak rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, masalah kos sara hidup yang semakin meningkat berpunca daripada kenaikan harga makanan, salah satu faktornya ialah pergantungan negara kepada import.
“Kita perlu melihat keperluan kerjasama antara kerajaan dan industri bagi meningkatkan produktiviti tempatan.
“Ini adalah langkah penting untuk memastikan harga makanan kekal mampu milik, khususnya untuk golongan B40,” jelasnya.
Namun, buat masa ini Muhammad Gaddafi memberi jaminan bahawa harga barangan makanan masih terkawal.
Sementara itu, PKPS sebagai agensi yang melaksanakan pelbagai program inisiatif sekuriti makanan di Selangor terus komited untuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi dan berkualiti untuk rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE