KUALA LUMPUR – Sering digandingkan dengan pelakon jelita tidak membuatkan aktor Shahz Jaszle terdetik hati untuk menduakan isterinya, Nur Hanis Husna.
Shahz atau nama sebenarnya, Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin, 36, sebaliknya berzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri yang sangat memahami kerjayanya sebagai pelakon.
“Apabila berada dalam bidang ini, pasti khalayak terfikir mustahil saya tidak tertarik hati dengan pelakon wanita muda dan cantik. Macam gandingan dalam drama Senyawa iaitu Trisha Ooi dan Siti Hariesa.
“Bagi saya, isteri saya seorang wanita cantik dan cukup sempurna. Malah, saya sangat bersyukur dikurniakan pasangan yang sangat memahami kerjaya saya sebagai pelakon.
“Saya pula jenis yang habis penggambaran terus balik rumah. Tiada masa hendak berfoya-foya. Usia begini sudah tidak sesuai lagi untuk kehidupan begitu. Masa sudah berubah dan kita juga perlu berubah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Shahz yang ditemui di masjlis sidang media drama Senyawa, semalam turut berterima kasih kepada belahan jiwanya kerana cekap menguruskan kerjaya seninya dan keluarga.
“Isteri saya yang menguruskan kerjaya seni saya. Dia menjaga anak-anak malah anak sulung kami iaitu Alana Jasmeen juga aktif dalam bidang lakonan.
“Jadi, jika ada penggambaran dia akan bersama Alana dan anak ketiga kami, Aurora Jane sambil dibantu ahli keluarga lain. Sementara saya pula akan menjaga anak kedua kami, Ayden Jasreen.
“Kami tiada pembantu rumah, jadi semuanya buat sendiri termasuk urusan hantar dan ambil anak dari sekolah,” katanya.
Tambah Shahz, kebaikan isterinya itu menjadi pembakar semangat untuk dirinya berusaha keras mencari nafkah untuk keluarga.
“Bagi saya, memiliki seorang isteri yang cantik dan boleh menguruskan rumah tangga serta anak-anak dengan baik itu bonus. Itu satu pakej yang baik dan saya sangat bersyukur,” katanya.
Sebagai info, Shahz mendirikan rumah tangga dengan Nur Hanis Husna pada 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alana Jasmeen, 9, Ayden Jasreen, 7 dan Aurora Jane yang kini berusia empat bulan.
Drama terbaharu lakonan Shahz, Senyawa yang mendapat sentuhan sutradara Eyra Rahman akan bersiaran di penstriman iQiYi bermula 25 Oktober ini.
Selain Shahz, drama itu turut dibintangi Trisha Ooi, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan dan Heryanto Hassan.
Senyawa mengisahkan cabaran dilalui pasangan suami isteri yang berusaha mendapatkan cahaya mata menerusi kaedah ibu tumpang. – KOSMO! ONLINE