fbpx

Duit i-Sinar antara Bangi Sentral atau Jalan TAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

“Kalau tidak kuat iman, jangan datang membeli-belah di Bangi Sentral,” rungut seorang rakan penulis sambil menjinjing beberapa beg berisi tudung dan pelbagai koleksi pakaian muslimah di dua belah tangannya.

Namun, riak wajah wanita itu menzahirkan kepuasan setelah berjaya memenuhi kehendak untuk menambah koleksi tudung dan pakaian muslimah sedia adanya.

Biasanya wanita tidak dapat lari daripada aktiviti membeli-belah bukan sahaja di platform online tetapi juga di butik termasuk di pusat beli-belah, meskipun menyedari bajetnya tidak mengizinkan mereka berbuat demikian.

Namun percayalah, wanita adalah akauntan yang paling bijak menguruskan kewangan, meskipun berlakunya defisit.

Bangi Sentral yang mula dibuka pada tahun 2015 sudah terkenal dalam kalangan pelanggan dari seluruh negara tetapi juga dari negara jiran khususnya Singapura, Indonesia dan Brunei.

Melihat kepada suasana sibuk pengunjung membeli-belah di lokasi yang dikenali sebagai ‘syurga tudung’ itu menunjukkan kuasa beli pengguna masih lagi tinggi terhadap barangan bukan keperluan utama.

Lebih menarik lagi, apabila permohonan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dilulus dan bayaran telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai minggu ini membuatkan ramai ahli yang terlibat, tersenyum lebar.

Ramai yang menyusun strategi dengan baik untuk menguruskan wang tersebut untuk menyelesaikan segala permasalahan kewangan yang membelenggu diri sebelum ini.

Pengeluaran i-Sinar menjadi antara faktor penggalak kepada proses pemulihan ekonomi semasa.

Berbalik kepada niat asal pengeluaran duit simpanan hari tua itu, sama ada untuk digunakan secara berhemah atau sebaliknya, ia memerlukan satu disiplin dan semangat yang sangat tinggi.

Tidak dinafikan, ada juga yang terselit niat untuk membeli barangan yang diidam selama ini seperti beg tangan, kasut, telekung dan tudung berjenama mewah yang bernilai ratusan ringgit atau mungkin mencecah ribuan ringgit daripada senarai bajet duit i-Sinar.

Maka butik-butik di Bangi Sentral pastinya akan terus sibuk menerima kunjungan pengunjung, manakala Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) pula kembali sesak dengan pelbagai ragam masyarakat datang untuk membeli-belah.

Terpulang pada niat awal kita, asalkan ‘peleburan’ duit i-Sinar berbaloi dan jangan nanti apabila habis duit, ahli KWSP kembali gigit jari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI