PETALING JAYA – Malaysia dan Filipina komited terhadap rundingan berterusan berhubung Laut China Selatan untuk mewujudkan ‘kod etika’ (COC) melalui dialog dan perundingan yang membina mengikut undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, H.E. Enrique A. Manalo yang berada di Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina (JCM) ke-8.
“Semasa kita memperingati 60 tahun hubungan diplomatik, saya bersemangat untuk memajukan perkongsian kita dan mengeratkan kerjasama antara kedua-dua negara kita.
“Persidangan JCM mewujudkan perjanjian penting untuk mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dua hala, dan memberikan peluang yang sangat baik untuk meneroka saluran kerjasama baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, turut mewujudkan kerjasama khususnya dalam bidang seperti pertanian dan keselamatan makanan, ekonomi digital, dan industri halal. – KOSMO! ONLINE