Pada suatu hari, seorang guru di sekolah menanyakan kepada kami murid-murid: “Siapa yang pernah melakukan dosa besar?” Soalan saya, bolehkan saya menipu dengan tidak mengaku untuk menutup aib saya? Jika kami disuruh untuk bersumpah pula, adakah boleh untuk bersumpah palsu untuk menutup aib masing-masing?
Jawapan: Pada asasnya, bertanya kepada orang lain tentang dosa peribadi mereka merupakan perbuatan yang haram dan termasuk dalam larangan Allah untuk mencari kesalahan dan keaiban orang lain (al-tajassus) seperti dalam firman-Nya: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka (supaya kamu tidak membuat sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau keaiban orang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain.”(Surah al-Hujurat: 12)
Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, ayat ini mengandungi pengharaman perbuatan al-tajassus yang bermaksud mencari-cari keaiban yang tersembunyi daripada orang Muslim lain.
Membuka aib sendiri dengan memberitahu dosa peribadi kepada orang lain pula adalah haram, jika ia dilakukan dengan perasaan bangga atau mengambil ringan tentang dosa dilakukan.
Ia boleh menyebabkan dosa tersebut tidak diampunkan sekiranya tidak bertaubat sebagaimana sabda Nabi SAW:“Setiap umatku berada dalam keadaan sejahtera (selamat daripada azab yang pedih) melainkan al-Mujahirin (iaitu orang yang mendedahkan dosa sendiri). Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa sendiri itu ialah apabila seseorang melakukan kesalahan pada malam hari, kemudian pada pagi hari dalam keadaan Allah telah menutup kesalahannya tersebut (dari pengetahuan orang ramai), dia menghebahkannya pula dengan berkata: “Aku telah melakukan malam tadi sekian-sekian perbuatan (dosa), sedangkan Tuhannya telah menutup keaibannya itu, namun dia membuka tutupan Allah tersebut darinya.”
Adapun jika dosa itu diberitahu kepada orang lain bukan kerana berbangga atau mengambil ringan tentang dosa itu sehingga boleh mempengaruhi orang lain untuk turut melakukannya, maka hukumnya adalah makruh.
Kesimpulan, hukum menipu untuk menutup aib sendiri adalah harus selagi mana dosa tersebut tidak didedahkan orang lain. Jika diminta untuk bersumpah, hendaklah melakukan tauriah seperti mengatakan, ‘aku tidak melakukan perkara tersebut’, tetapi berniat apa yang dimaksudkan ialah tidak melakukan perkara tersebut pada hari ini.
Keharusan ini adalah dengan syarat dosa tersebut tidak didedahkan orang lain dan tidak melibatkan pengambilan atau penafian hak orang lain. Ia juga mesti disertai dengan taubat dan usaha untuk meninggalkan terus dosa tersebut agar tidak dijadikan jalan untuk meneruskannya secara tersembunyi.