PETALING JAYA – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pusat pemindahan sementera (PPS) mangsa banjir di Ulu Dong, Raub, Pahang mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.
Beliau meluangkan masa melawat PPS itu hari ini.
“Keadaan baik dan tersusun serta segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik termasuk semua mangsa serta petugas memakai pelitup muka pada setiap masa.
“Saya berharap keadaan di pusat-pusat pemindahan lain juga sama. Pastikan kita bukan sahaja terselamat dari arus deras banjir, namun juga dari jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan enam daerah di Pahang merekodkan pertambahan mangsa banjir kepada angka 21,900 orang setakat pukul 5 petang semalam
Peningkatan tersebut turut menyaksikan tambahan pps baharu yang dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 259 setakat semalam. – K! ONLINE