BEIJING – Seorang wanita di China menerima kecaman ramai selepas memaksa dua anaknya duduk di atas kompresor penyaman udara yang diletakkan di luar pangsapuri tingkat 23, lapor portal berita South China Morning Post.
Dia bertindak demikian kerana mahu mengancam suaminya dalam kejadian yang berlaku di Luoyang, wilayah Henan pada 10 Oktober lalu.
Rakaman yang dimuat naik di platform Weibo menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan menangis teresak-teresak ketika duduk di atas kompresor bersama saudara lelakinya.
Ibu mereka pula duduk di tepi tingkap sambil bertengkar dengan si bapa. Wanita tersebut turut menghalang suaminya daripada mendekati kanak-kanak itu.
Dua beradik itu dilihat tidak memakai sebarang peralatan kecemasan atau perlindungan semasa kejadian.
Seorang pegawai Persekutuan Wanita dan Kanak-Kanak tempatan berkata, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan.
“Mereka berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan siasatan sedang giat dijalankan,” katanya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 55 juta tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai orang.
“Seorang ibu harus melindungi anak tetapi dia meletakkan anak-anaknya dalam bahaya. Dia tidak sesuai menjadi seorang ibu,” sindir seorang netizen. – AGENSI