BUENOS AIRES – Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi kekal membuktikan ketajamannya, selepas meledak hatrik dan mencipta dua umpanan gol ketika mereka berjaya menundukkan Bolivia 6-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Pada perlawanan yang berlangsung di Estadio Monumental yang menjadi gelanggang keramat River Plate, skuad kendalian Lionel Scaloni itu berjaya meledak tiga gol pada setiap babak perlawanan.
Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum meledak gol kelima dan keenam dalam tempoh dua minit bermula pada minit ke-84 untuk melengkapkan tiga jaringan pada perlawanan tersebut sekali gus mengumpul 10 hatrik bersama pasukan Argentina dan menyamai pencapaian yang dilakukan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
Selepas berjaya membantu Argentina menjuarai Copa America pada Julai lalu, Messi berdepan masalah kecederaan dan hanya membuat penampilan kedua di pentas antarabangsa pada perlawanan itu.
Penjaga gol Bolivia, Guillermo Viscarra terpaksa bekerja keras dengan melakukan beberapa lagi penyelamatan penting untuk mengelakkan gawangnya daripada dibocori lebih banyak gol, namun terpaksa akur tewas enam kali pada aksi berkenaan.
Selain hatrik yang dihasilkan Messi, tiga lagi gol Argentina berjaya dihasilkan oleh Lautaro Martinez, Julian Alvarez dan Thiago Almeida yang melengkapkan malam cemerlang pasukan tersebut
“Sangat hebat dapat kembali beraksi di tanah air sendiri, merasai kehangatan yang diberikan oleh para peminat. Saya sangat teruja apabila mereka menjerit memanggil nama saya. Kami gembira dengan hubungan bersama peminat dan menikmatinya setiap kali bermain di Argentina.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya belum menetapkan sebarang tarikh (bersara). Saya hanya mahu terus menikmati suasana ini,” jelasnya.
Kemenangan itu membolehkan Argentina mengungguli carta kelayakan dengan meraih 22 mata daripada 10 perlawanan dan cukup penting selepas mereka sekadar terikat 1-1 menentang Venezuela pada aksi sebelum ini. – AGENSI