fbpx

Dewan Rakyat: Ahli Parlimen Pas sokong RUU kewarganegaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rushdan

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen daripada Pas menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai kewarganegaraan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, tindakan itu membuktikan tuduhan kononnya Perikatan Nasional (PN) mengamalkan diskriminasi gender dengan meletakkan wanita sebagai golongan kelas kedua tidak benar.

Malah katanya, manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) PN mengandungi janji jika berkuasa akan memuktamadkan segera kajian pindaan Perkara 14(1)(b) bagi mengatasi masalah kewarganegaraan.

“Kita faham kesusahan dialami anak-anak wanita warga Malaysia yang bersuamikan warga asing ekoran Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca dengan Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1 (b) memperuntukkan pemberian kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak-anak lelaki warga Malaysia.

“Pindaan ini adalah langkah positif ke arah kesamarataan jantina dan seharusnya mendapat sokongan padu daripada semua pihak tanpa mengira latar belakang politik. Ia selari dengan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September 2021 bahawa frasa “bapanya” yang tertulis di Jadual Kedua hendaklah adalah merangkumi pihak ibu juga,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Rushdan berkata, RUU itu bukan hanya sekadar menambah perkataan “ibu” dalam undang-undang, malah mengandungi elemen-elemen kawalan yang dibuat atas permintaan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu (MRR) ke-261 pada 22-23 Februari 2023 yang mahukan supaya mekanisme kawalan dalam aspek pemberian kewarganegaraan diperkuatkan.

Menurut beliau, sokongan itu juga mencerminkan komitmen tinggi PN terhadap prinsip keadilan sosial serta kebajikan semua golongan tanpa mengira latar belakang mereka.

Tambah beliau, ia juga manifestasi kepada pegangan PN yang sentiasa menghormati dan mendukung keputusan Raja-Raja Melayu dalam isu-isu penting melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Pindaan kepada perenggan (a) seksyen 1 Bahagian II Jadual Kedua untuk menamatkan pemberian kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak Pemastautin Tetap contohnya adalah pindaan yang baik kerana pemberian kewarganegaraan kepada anak-anak Pemastautin Tetap terbukti menimbulkan banyak masalah sosial dan ekonomi di negara kita.

“Kemasukan peruntukan baharu Perkara 18(1A) serta seksyen baharu 3 ke dalam Bahagian II Jadual Kedua yang menghendaki mana-mana orang yang di bawah umur 18 tahun yang memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran untuk mengangkat sumpah selepas mencapai umur 18 tahun juga baik memastikan keterikatan pemohon dengan negara sentiasa wujud,” ujarnya.

“Walaupun kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu-isu lain, saya berharap kita dapat bersatu dalam menyokong perkara yang baik untuk rakyat dan negara. Mari kita buktikan bahawa kita boleh bekerjasama demi kebaikan bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI