fbpx

101 kes kemalangan maut babit kenderaan perdagangan bulan lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Yusri.

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan berakhir dengan kematian apabila 101 kes kemalangan maut direkodkan pada September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 184 kemalangan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

Katanya, 35 kes lagi melibatkan kemalangan cedera parah manakala 48 kes membabitkan kemalangan cedera ringan.

“Kategori kenderaan perdagangan merangkumi lori kecil, trailer dan lori kontena yang menjadi antara penyumbang tertinggi kes kemalangan.

“Kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan melulu yang melibatkan kemalangan maut, Seksyen 43 APJ 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan Kaedah 10 LN 166/59,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri memaklumkan sebanyak 177 kenderaan perdagangan diambil tindakan sita hasil Op Perdagangan dijalankan pihaknya.

“Statistik Op Perdagangan yang dijalankan JSPT pada tahun ini bagi tempoh Januari hingga September merekodkan 4,822 operasi dengan 38,367 saman dikeluarkan,” katanya

Menurutnya, kesalahan utama yang dikesan adalah seperti membawa muatan secara merbahaya, tiada segi tiga, tayar botak, lampu signal dan brek tidak berfungsi dan membawa muatan secara tidak kemas.

Kata Mohd Yusri, JSPT memandang serius dengan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan yang memberi kesan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Bagi mengelak dan mengurangkan kemalangan ini berlaku, JSPT menyeru pengusaha atau majikan kenderaan perdagangan melaksanakan tapisan terperinci diperingkat dalaman merangkumi elemen tahap kesihatan pemandu dan penyelenggaraan berkala tanpa gagal.

“Sekiranya pemeriksaan kenderaan dipatuhi sepenuhnya, barulah layak untuk dipandu di jalan raya,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan masalah brek menyebabkan sebuah treler merempuh lapan kenderaan dalam kejadian di Kilometer 18.5, Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE), Petaling Jaya, kelmarin.

11 Oktober lalu,sebuah treler dipercayai membawa muatan cecair disyaki minyak terbabas sebelum terbalik di Kilometer 27.8 di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Gombak.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI