AMPANG – Kerja-kerja pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh di Jalan E6 Taman Melawati di sini akan menggunakan kaedah pemakuan tanah atau ‘soil nailing’.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kaedah itu memastikan dasar tanah di kawasan kejadian berada dalam keadaan kukuh.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pembaikan itu dijangka akan mengambil sedikit masa.
“Kerja-kerja membina tembok penahan pergerakan tanah juga akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan mengadakan libat urus bersama pemaju.
“Proses ini adalah satu bentuk rawatan dan pemulihan kekal bagi memastikan kestabilan cerun dan keselamatan pengunaan jalan pada masa hadapan,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ahmad memberitahu, sebanyak 3,200 cerun di semua jalan persekutuan seluruh negara telah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlakunya tanah runtuh.
“Keseluruhannya, terdapat sebanyak 27,000 cerun di semua jalan persekutuan termasuk yang berada berhampiran bangunan kerajaan seperti sekolah dan hospital,” jelasnya
“Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengaktifkan bilik gerakan bencana (BGB) pada beberapa hari lalu.
“Jika perlu, kita akan bekerja 24 jam untuk memberikan sistem amaran awal (EWS) yang khusus untuk cerun, kawasan berhampiran dengan penempatan, bangunan kerajaan terutama sekolah yang ada 10,000 di seluruh negara serta kawasan cerun yang berdekatan dengan jalan persekutuan,” ujarnya.
Menurutnya, pengaktifan BGB terbabit dilaksanakan atas arahan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi susulan cuaca tidak menentu susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara.
“Sekarang ini bulan monsun dan negara dikejutkan dengan kejadian banjir kilat yang menyebabkan Kuala Lumpur ‘lumpuhc beberapa jam semalam.
“Segala jentera kita di Jabatan Kerja Raya (JKR) diketuai Jurutera Daerah akan digerakkan dan mengaktifkan segala rangkaian di daerah yang berkaitan.
“Jadi kami (KKR) ingin memberikan nasihat yang sewajarnya iaitu mereka yang berada berhampiran dengan cerun supaya berwaspada,” katanya. – KOSMO! ONLINE