TANJUNG MALIM – Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah menerusi serbuan di ladang kelapa sawit di Felda Gunung Besout 4 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan bersama 16 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 345.6 gram.
Katanya, turut dijumpai bersama suspek ialah 30 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis methamphetamin dengan berat 143 gram.
“Nilai keseluruhan rampasan itu ialah RM8,000 dan siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai tiga rekod lampau di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Suspek juga dipercayai aktif menghisap dadah sejak tahun 2003,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek ditahan reman lima hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya. – K! ONLINE