KUALA LUMPUR – Proses pengambilalihan operasi pintu masuk negara fasa satu oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA) akan bermula Januari hingga Februari tahun hadapan melibatkan lima lokasi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengambilalihan pertama melibatkan pintu masuk di Rantau Panjang, Kelantan pada 1 Januari.
Ia kemudiannya diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk di kompleks kargo dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru pada 1 Februari.
Turut terlibat katanya adalah pintu masuk di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah.
“Jadi kita mula 1 Januari Rantau Panjang, 1 Februari kita tambah empat, jadi fasa pertama ini lima (pintu masuk).
“Apa justifikasi kita pilih lima kerana ia sejajar dengan keputusan Jemaah Menteri pada 24 Julai lalu dengan mengambil kira bahawa lima pintu masuk ini mempunyai ciri-ciri demografi dan risiko yang berbeda, ada laut dan darat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Khlir Mohd Nor (PN- Ketereh) yang bertanyakan tentang status terkini bagi pengoperasian MCBA dan bilakah dijangka ianya dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Tambah Saifuddin, operasi MCBA di pintu masuk di fasa pertama ini akan membolehkan agensi ini membuat analisis dan menambah baik sebelum kita buat ‘roll out’ kesemua pintu masuk yang lain. – KOSMO! ONLINE