TAIPING – Lelaki yang maut diserang harimau dalam kejadian di rumah kongsi Bagan Balak, Kilometer 79.2, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam, sepatutnya pulang ke kampung di Kuala Krai, Kelantan pada hari kejadian.
Isteri mangsa, Saina Binsa-i, 54, berkata, suaminya, Adnan Ismail, 54, menyatakan hasrat pulang ke rumah isteri pertama di sana untuk menjenguk anak-anak dan membeli barangan keperluan.
“Kelmarin (Isnin) dia ada beritahu nak balik kampung dan saya suruh dia balik hari itu juga tapi dia berkeras untuk balik esok pagi (Selasa).
“Saya tidak sangka hasrat suami untuk balik bertemu isteri dan anak-anaknya tidak kesampaian. Kalau dia tidak tunggu sehingga semalam, mungkin kejadian ini tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping di sini hari ini.
Menceritakan kejadian yang berlaku sekitar pukul 5 pagi itu, Saina yang merupakan warga Thailand berkata, dia yang sedang solat tahajud terkejut apabila mendengar bunyi terjatuh di hadapan pintu rumah kongsi yang didiaminya dan suami sejak sebulan lalu.
Katanya, dia segera keluar meninjau kerana bimbang keselamatan suaminya yang mahu ke tandas namun hairan apabila tidak nampak kelibat lelaki itu melainkan mendengar bunyi kuat seolah-olah orang diseret dari arah semak.
“Saya menjerit minta tolong rakan-rakan suami di bilik sebelah dan kami cuba mencarinya di kawasan sekitar. Kami tidak berani pergi jauh kerana hari pun masih gelap dan bimbang diserang,” katanya.
Tambahnya, apabila hari telah cerah, dia melihat terdapat kesan darah dipercayai milik suaminya di laluan masuk ke dalam hutan. – KOSMO! ONLINE