PETALING JAYA – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi berjumlah RM48.25 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai itu adalah peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Perkara tersebut dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Ke-32 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini.
“NCER juga telah menyaksikan sebanyak 10,529 peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan direalisasikan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Anwar berkata, mesyuarat turut membincangkan inisiatif-inisiatif dalam menyokong ekosistem pelaburan di NCER selari dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030, antaranya adalah pembangunan pusat inovasi teknologi, hub agro makanan dan peralihan tenaga.
“Perancangan ini penting dalam usaha Kerajaan MADANI memastikan NCER berterusan dapat menarik pelaburan terkait industri strategik yang berimpak dan bernilai tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE