PETALING JAYA – Pelakon Nora Danish menyeru golongan suami agar tidak culas dalam memberi nafkah terhadap isteri demi sebuah rumah tangga yang harmoni.
Menurut Nora atau nama penuhnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, perkara tersebut disuarakannya selepas menyemak banyak kes perceraian yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah disebabkan faktor kewangan.
“Peguam saya ada beritahu ramai pasangan bercerai kerana masalah kewangan dan duit.
“Realitinya banyak yang berlaku di luar sana ada suami yang tak jalankan tanggungjawab dan ambil remeh isu pemberian nafkah kepada isteri,” katanya dalam satu temu bual podcast.
Tidak mahu berlaku lebih banyak perceraian disebabkan isu kewangan, bintang sitkom Puteri itu menggesa orang ramai khususnya golongan lelaki menanam dalam diri bahawa nafkah adalah antara elemen utama selain dapat mengelakkan pelbagai isu lain.
Jelasnya, masih ramai golongan suami masih kurang faham konsep asas nafkah sehingga ada menganggap isteri yang bekerja tidak perlu diberi nafkah kerana sudah mampu menyara diri sendiri.
“Kita perlu didik orang di luar sana terutama lelaki yang bakal bergelar suami bahawa nafkah adalah perkara penting.
“Walaupun hanya beri jumlah yang sedikit kepada isteri, itu sebenarnya tetap satu barakah (keberkatan).
“Bagi saya isu ini segelintir lelaki ambil sambil lewa sebab sekarang ramai golongan wanita dan isteri sudah bekerja.
“Maka, suami rasa isteri mereka mampu. Semua ni juga berlaku disebabkan mereka tak faham konsep asas mengenai nafkah,” ujarnya.
Dalam temu bual sama, Nora turut berkongsi perceraian dengan bekas suami, Nedim Nazri banyak pada Jun lalu banyak mengajarnya menjadi seorang Muslimah lebih baik hari demi hari.
“Bila jadinya perceraian itu, Allah SWT permudahkan dan semuanya berlaku dalam tempoh singkat meskipun kemelut itu sudah berlanjutan lama.
“Saya reda dan kemudian meminta petunjuk daripada Tuhan. Kalau begini rasanya sakit kehilangan suami (cerai), macam mana jika Allah duga dengan kehilangan yang lebih besar?
“Ketika itu saya terfikir, Allah memang akan beri dugaan pada hamba-Nya mampu tanggung tetapi hanya untuk mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, tak mungkin boleh hadap ujian sebegini,” tuturnya.
Katanya, perceraian ini banyak membawa titik perubahan besar dalam hidupnya selain membuka mata mengenai perkahwinan.
“Bila kita kahwin kerana cinta, cinta itu yang melukakan anda.
“Bila kahwin kerana Tuhan, walaupun bunyi klise, barulah saya faham jalan menuju ke Allah itu indah,” katanya lagi.
Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 41, sah bercerai pada Jun lalu dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl kini berusia enam tahun. – KOSMO! ONLINE