KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Jabatan Imigresen telah berjaya menumpaskan 47 sindiket berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga Oktober tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui beberapa operasi yang dijalankan sebelum ini, seramai 1,285 individu telah ditahan membabitkan ahli sindiket dan PATI.
Susulan itu katanya, KDN telah memperketatkan kaunter pintu masuk bagi memastikan mereka yang layak sahaja masuk negara ini dan menolak individu yang tidak layak.
“Individu ini (tidak layak) telah kita berikan notiis Not To Let (NTL) atau nota penolakan masuk. Sehingga September tahun ini, kita kenakan NTL kepada warga asing seramai 25,214.
“Bukan sekadar mereka dikenalkan NTL di pintu masuk, bahkan Imigresen juga sudah pun mewujudkan pasukan khas yang membuat rondaan sebelum daripada pengembara ini pergi ke kaunter Imigresen.
“Jika pasukan ini mengesan mereka ini berlama-lama 5, 6, 7, 8 jam masih tidak pergi ke kaunter bermaksud sedang tunggu isyarat daripada sindiket, nak maklum mereka kaunter mana mereka patut pergi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu] yang mahu kerajaan menyatakan langkah menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi ‘counter setting’.
Tambah Saifuddin, pihaknya turut membuat pemantauan ke atas petugas di kaunter pintu masuk.
“Kita pertingkatkan rondaan, kita pantau melalui CCTV (televisyen litar tertutup) di bilik kawalan. Penyelia buat lawatan mengejut ke kaunter ini dan pegawai kita yang bertugas di kaunter ini juga, kita tidak benarkan dia bawa alat telekomunikasi.
“Sebelum dia bertugas dan selepas dia keluar, kita lakukan ‘body search’ ke atas mereka,” tegasnya.-KOSMO! ONLINE