fbpx

[VIDEO]’Bangun tidur, tiba-tiba rasa bersalah’ – Sasha Abedul kini bertudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon Shasha Abedul sudah bertudung penuh sejak sebulan lalu. - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Rasa bersalah untuk memuat naik gambar tidak menutup aurat dalam media sosial, pelakon Shasha Abedul mengakui itu adalah detik permulaan yang menjentik hatinya untuk berhijab sejak sebulan lalu.

Berdepan proses perubahan, Shasha, 28, berkata, perasaan bersalah yang tercetus secara tiba-tiba membuatkannya percaya bahawa semua itu merupakan petunjuk ke arah menjadi Muslimah yang lebih baik.

“Kalau mahu cerita fasal hidayah, memang itu datang sendiri, cuma ada satu hari saya bangun tidur dan mahu memuat naik gambar (tak bertudung) dalam Instagram, tiba-tiba sahaja saya rasa bersalah.

“Bukan itu sahaja, mahu keluar rumah pun saya rasa tidak selesa, seperti dihantui rasa bersalah sebab tidak menutup aurat.

“Orang kata hidayah dah sampai. Bila dah buat keputusan nak pakai tudung saya tak mahu lengahkan sebab saya tak tahu jika perasaan sebegitu akan datang lagi atau tidak,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Project: Exit di sini, semalam.

Sudah lama berhasrat menutup aurat dengan sempurna, pelakon filem Hani itu mengakui niat suci tersebut sering tertangguh kerana enggan perubahan dilakukan tidak sepenuh hati selain takut kembali ke imej asal.

“Saya memang dah lama pasang niat, tapi saya jenis orang yang tidak mahu buat satu perkara setengah jalan, saya mahu buat sungguh-sungguh.

“Jadi saya pergi kelas agama dan fahamkan kenapa perlu tutup aurat, untuk siapa aurat kita.

“Saya tak mahu buat untuk mendapat pujian orang, apa saya lakukan sekarang adalah ikut perintah Allah,” dedahnya.

Paling penting kata Shasha, dia berasakan dirinya seperti mati hidup semula selain terus berdoa agar Allah tidak membolak-balikkan hatinya untuk kekal istiqamah di jalan yang benar.

“Alhamdulillah (kekal istiqamah), saya berharap sangat Allah tak hilangkan rasa itu,” tuturnya.

Pada akhir September lalu, Shasha mengejutkan peminat apabila memuat naik foto mengenakan hijab selain memadam gambar-gambar menampakkan aurat dalam Instagram miliknya.

Meskipun tanpa sebarang pengesahan sudah berhijab atau tidak daripadanya ketika itu, rata-rata peminat mendoakan yang terbaik buatnya agar terus istiqamah dengan perubahan dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI