fbpx

Sindiket visa perubatan: EAIC tubuh pasukan petugas khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu salah laku berhubung sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing dari beberapa buah negara.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan, pasukan petugas khas itu diketuai oleh Datuk Seri Dr. Razali Ab. Malik yang merupakan salah seorang Pesuruhjaya EAIC.

Katanya, penubuhan pasukan itu selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Berdasarkan siasatan awal yang dibentangkan dalam mesyuarat suruhanjaya hari ini memutuskan untuk siasatan menyeluruh dijalankan terhadap aktiviti mencurigakan berkaitan sindiket tersebut berdasarkan dokumen yang disita.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan perkhidmatan kemudahan visa perubatan kepada warga asing diluluskan dengan penuh integriti dan melindungi
keselamatan negara,” katanya hari ini.

EAIC sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat pegawai Jabatan Imigresen berhubung isu salah laku.

Sejumlah 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) disita pada 1 Oktober lalu selepas hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit, Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya.

Sitaan tersebut dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan Pegawai JIM yang dikatakan mengeluarkan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI