KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan misi mempertahankan gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark dengan langkah positif apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense sebentar tadi, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mencatat kemenangan 28-26, 21-11 ke atas beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.
Keputusan itu turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengekalkan rekod bersih ke atas lawan berkenaan selepas menang kesemua tiga perlawanan dengan pertemuan terakhir mereka adalah pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 April lalu.
Bagaimanapun, ia bukanlah aksi mudah buat bekas juara dunia itu memandangkan mereka diheret ke penentuan deuce di set pertama dan diberikan cabaran hebat oleh Mitsuhashi-Okamura biarpun beberapa kali berada pada mata akhir.
Menjelang pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung Khamis ini, Aaron-Wooi Yik akan menantikan pemenang perlawanan antara rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu England, Callum Hemming-Ethan Van Leeuwen.
Sementara itu, nasib berbeza dialami beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila terpaksa meninggalkan kejohanan lebih awal selepas tewas mengejut kepada wakil Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Pilihan kelima yang juga naib juara Terbuka China bulan lalu itu akur dengan kekalahan tersebut biarpun bermula garang memenangi set pertama 21-9 sebelum tewas 22-24, 10-21 dalam dua set berikutnya. – KOSMO! ONLINE