fbpx

TNB perlu maklum lebih awal sebelum lepaskan air empangan – MB Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kiri) melawat PPS SK Lasah di Sungai Siput yang menempatkan 27 keluarga mangsa banjir hari ini. - FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

SUNGAI SIPUT – Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta memaklumkan lebih awal kepada pihak berkaitan sebelum melepaskan air dari empangannya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan kejadian banjir besar pada 2014 berulang kembali yang mana TNB melepaskan air dari Empangan Temengor dan Empangan Kenering tanpa memaklumkan kepada pejabat-pejabat daerah.

“Jadi ia menyebabkan orang ramai tidak sempat membuat persiapan dan kesannya adalah banjir yang kita alami pada 2014.

“Sejak daripada itu, kita sentiasa dikemas kini oleh TNB mengenai paras air. Bagaimanapun, kali ini saya dimaklumkan mereka melepaskan air dari Empangan Chenderoh dan kita tidak dimaklumkan, menjadikan orang di hilir sungai pula menjadi mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pahit dan PPS SK Kerunai di Gerik serta PPS SK Lasah di sini.

Media sebelum itu melaporkan TNB memberi jaminan kerja-kerja pelepasan air di Stesen Kuasa Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar dilaksanakan secara terkawal.

Turut tular ialah beberapa video di media sosial yang mendakwa air sedang dilepaskan dari Empangan Chenderoh menyebabkan kenaikan paras Sungai Perak dan melimpah di kawasan sekitar pesisiran sungai itu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, TNB bukan sahaja perlu memaklumkan tentang pelepasan air dari empangannya kepada pihak berkaitan di Kuala Kangsar namun turut melibatkan Perak Tengah dan Hilir Perak.

Ini kerana, katanya, ia boleh memberi masa kepada orang ramai di kawasan berkaitan untuk membuat persiapan sewajarnya memandangkan air yang dilepaskan itu boleh dianggarkan waktu ia tiba di kawasan-kawasan tertentu.

“Bukan apa, melihat kepada mangsa yang lari sehelai sepinggang ini bermakna mereka terkejut. Jadi barang kali kalau TNB dapat memaklumkan lebih awal walaupun perkara itu kritikal dan kecemasan, maklumkan lebih awal kerana bukan terus menerus air sampai.

“Dia (TNB) lepaskan dari Chenderoh, ada tempoh masa sampai ke Kuala Kangsar, Sungai Siput, Parit dan sebagainya. Mereka akan membuat persiapan. Pejabat-pejabat daerah dan jawatankuasa bencana daerah pun akan buat persiapan,” katanya.

Saarani menegaskan, pihaknya faham TNB tidak boleh menyimpan air terlalu lama kerana dibimbangi ia akan pecah namun koordinasi dengan pejabat-pejabat daerah perlu ditingkatkan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu semua paras air empangan Stesen-Stesen Janaelektrik Sungai Perak berada di bawah paras bahaya dan berada dalam keadaan terkawal.

“Empangan Temengor dan Empangan Bersia berada pada paras normal manakala Empangan Kenering serta Empangan Chenderoh di paras amaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI