fbpx

RBO@KPLB bantu 131 usahawan, pasarkan 300 produk tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Latiff (kanan) melihat antara produk yang dipasarkan di outlet RBO@KPLB di Anggerik Mall, Shah Alam hari ini. Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seramai 131 usahawan tempatan di bawah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah dibantu dalam memasarkan produk mereka secara meluas menerusi Rural Business Outlet (RBO@KPLB).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, RBO@KPLB mampu menjadi pusat sehenti dalam mengetengahkan produk usahawan desa tempatan kepada masyarakat seperti makanan, minuman, fesyen dan kraf.

Katanya, idea membangunkan konsep itu tercetus daripada pasar raya milik syarikat dari Korea Selatan yang memasarkan produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari negara tersebut.

“Kita ada 300 produk tempatan yang pembungkusannya bertaraf antarabangsa, mematuhi akta makanan malah ada sijil halal tetapi tidak menembusi pasar raya kerana kekangan tertentu.

“Justeru, pendekatan ini digunakan dalam mewujudkan premis RBO@KPLB supaya produk mereka boleh terus dijual di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan outlet sulung RBO@KPLB di Anggerik Mall di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, tiada syarat ketat dikenakan dalam pemilihan produk usahawan sebaliknya akan memastikan barangan yang diketengahkan itu mampu dijamin kualiti keluarannya.

Abd. Latiff menegaskan, pihaknya juga bercadang membuka sebuah lagi RBO@KPLB di lokasi lain seperti Johor Bahru dalam membantu lebih banyak usahawan desa dapat memasarkan barangan mereka.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI