BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah kini mampu beraksi tanpa banyak tekanan dalam mana-mana kejohanan sebaik sahaja selesai menggalas cabaran pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang lalu.
Ia terbukti apabila pasangan No. 7 dunia itu dilihat lebih santai ketika beraksi di dalam gelanggang selain berjaya menamatkan kemarau kejuaraan hampir dua tahun selepas memenangi Terbuka Hong Kong bulan lalu.
Bagaimanapun, hasrat mereka untuk meraih kejuaraan kedua dalam tempoh sebulan pada Terbuka Arctic di Vantaa, Finland minggu lalu tidak kesampaian apabila tewas 12-21, 17-21 kepada beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di perlawanan akhir.
Biarpun tewas, namun Thinaah menjelaskan, aksi dia dan Pearly sudah semakin baik dan ia mampu membantu mereka bagi meneruskan aksi cemerlang menjelang pusingan pertama Terbuka Denmark hari ini.
“Saya rasa minggu ini (Terbuka Arctic), memang ada turun naik tetapi sangat gembira kerana Pearly sentiasa bersama saya dan kami saling membantu dalam setiap perlawanan. Saya harap ia dapat diteruskan pada kejohanan seterusnya.
“Selepas Olimpik, kami dapat rasa beban sudah terangkat daripada bahu kerana sebelum itu kami sangat tertekan. Sebaik ia (Olimpik) berakhir, kami rasa lebih tenang dan mampu menikmati perlawanan,” katanya.
Menjelang pusingan pertama esok, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu akan turun membuat perhitungan dengan beregu No. 21 dunia dari India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand.
Sementara itu, Pearly mengakui teruja untuk memulakan saingan pada kejohanan Jelajah Dunia Super 750 itu kerana menganggap mereka berada pada prestasi terbaik ketika ini.
“Seperti Thinaah cakap, kami hanya mahu nikmati setiap perlawanan dan untuk Terbuka Denmark, kami akan fokus satu demi satu perlawanan. Memang teruja untuk memulakan saingan kerana kami sudah ada momentum ketika ini,” ujarnya.