KEMAMAN – Seorang lelaki yang terlantar lumpuh sejak 12 tahun lalu pasrah terpaksa diusung ke pusat pemindahan sementara (PPS) saban tahun setelah rumahnya di Kampung Seberang Tayor dekat sini kerap dilanda banjir.
Baharun Mohamed, 43, yang lumpuh setelah tulang belakang patah akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2009 berkata, rumahnya yang terletak di kawasan rendah biasanya akan banjir pada setiap musim tengkujuh.
“Setiap tahun, saya memerlukan bantuan bomba atau Angkatan Pertahanan Awam untuk membantu saya untuk berpindah ke PPS.
“Saya perlu diusung dengan menggunakan katil khas yang diangkut menggunakan lori ke PPS,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Baharun berkata, sepanjang minggu ini sahaja, sudah dua kali dia diusung berulang alik ke PPS.
Bapa kepada seorang anak itu memberitahu terpaksa diusung semula ke PPS tidak sampai 24 jam selepas dibenarkan pulang ke rumah pada Selasa lalu.
“Kalau ikutkan memang letih, saya pun kasihan anggota bomba dan APM yang dedikasi membantu. Apa pun saya reda dan pasrah dengan nasib diri.
“Saya juga berterima kasih kepada Sekteriat Pengurusan Bencana daerah kerana diberi ruang khas yang selesa untuk orang kelainan upaya (OKU) seperti saya di PPS Dewan Sivik Felda Seberang Tayor,” katanya. – K! ONLINE