fbpx

Kerjasama KPDN, Bank Negara bantu pengguna membuat tuntutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan pada Program Lawatan Kerja ke Carsome, sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng (kiri), di Petaling Jaya, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

PETALING JAYA – Kesukaran pengguna untuk membuat tuntutan tebus rugi (redress) bagi pembelian kenderaan bermotor disebabkan tafsiran pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) akan dapat ditangani melalui kerjasama strategik antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebelum ini Akta 212 menakrifkan pemilikan kenderaan baharu adalah bank atau institusi kewangan yang memberikan perkhidmatan pinjaman, manakala pembeli hanyalah penyewa kenderaan sehingga selesai pembayaran pinjaman.

Katanya, ini menyukarkan pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membuat keputusan yang memihak kepada pembeli.

“BNM telah mengarahkan institusi perbankan untuk melaksanakan beberapa inisiatif sebelum 3 Disember 2024. Antaranya adalah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memproses permohonan surat persetujuan (consent letter) daripada pengguna.

“Consent letter daripada pihak bank atau institusi kewangan yang memberikan kemudahan pinjaman dan pemilik kenderaan sah di bawah Akta 212 ini boleh digunakan oleh pengguna yang membeli kenderaan melalui pinjaman untuk membuat tuntutan tebus rugi di TTPM bagi kenderaan bermotor baharu yang rosak dan tidak dapat dibaiki.

“Pada masa yang sama, institusi perbankan juga telah diminta untuk menubukan unit dalaman khusus untuk menerima dan memproses sebarang permohonan surat persetujuan daripada pengguna,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Carsome Group di sini hari ini.

Katanya, inisiatif itu merupakan salah satu daripada dua strategi interim yang dilaksanakan oleh KPDN untuk melindungi hak pengguna berkaitan hak tebus rugi sebelum kerangka perundangan baharu berhubung Lemon Law dimuktamadkan.

Selain itu, penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN diwujudkan berfungsi sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor bagi pengguna yang membeli kenderaan baharu.

“Kaedah rundingan yang digunakan adalah kaedah rundingan ‘tripartite’ kementerian, pembeli kereta dan pengedar serta pengilang.

“Bermula 1 Jun hingga 30 September lalu, sebanyak 16 aduan di bawah pasukan ini telah diterima dan disiasat oleh Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor ini.

“Dua strategi interim ini merupakan inisiatif intervensi oleh kerajaan bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada penyelesaian yang adil dan berkesan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI