fbpx

GISBH: PDRM tegaskan siasatan ikut peruntukan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razaruddin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dijalankan secara terperinci dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan siasatan dibuat berdasarkan laporan, maklumat serta risikan yang dijalankan.

Katanya, pihak polis menjalankan siasatan secara berhati-hati dalam memastikan tindakan terhadap GISBH dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Seperti dijelaskan sebelum ini, PDRM menjalankan siasatan di bawah undang-undang yang ada di dalam Malaysia untuk kesalahan seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak, Akta Pemerdagangan Manusia, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) dan akta-akta lain.

“Malah, siasatan turut dilakukan di bawah kes jenayah iaitu Kanun Keseksaan (KK) seperti Seksyen 506 KK, Seksyen 354 KK dan lain-lain dan ada antara kertas siasatan telah dituduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, Op Global juga dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi lain.

Mengulas lanjut, Razarudin memaklumkan hasil siasatan mendapati wujud unsur pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak malah terdapat beberapa video yang tular menunjukkan elemen itu berlaku di rumah amal tersebut.

“Tindakan pihak polis adalah untuk menyelamat mangsa-mangsa dipercayai diabaikan, dianiayai, didera atau dieksploitasi selain menangkap dan seterusnya mendakwa individu bertanggungjawab dalam kesalahan tersebut,” tegasnya.

Kelmarin, media melaporkan Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) mendakwa terdapat banyak kecelaruan, tangkapan dan tahanan tidak mengikut undang-undang dalam isu 402 kanak-kanak dipisahkan daripada ibu bapa mereka kerana dikaitkan dengan GISBH.

Jurucakapnya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia termasuk, pelanggaran peraturan, hak asasi manusia, Artikel 9 dan 18 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dalam Op Global.

Sehubungan itu, GPAAK menyenaraikan 12 tuntutan untuk dilaksanakan kerajaan dan pihak berkaitan termasuk memulangkan anak-anak yang ditahan kepada ibu bapa masing-masing.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI