fbpx

Bicara kes Norjuma April dan Mei tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norjuma (kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh Syakir Radin/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan April dan Mei 2025 bagi perbicaraan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed atas empat pertuduhan mencederakan dua individu dan melakukan khianat.

Majistret-Majistret Illi Marisqa Khalizan, Haneefa Arifin dan Farah Nabihah Muhamad Dan menetapkan tarikh-tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh perbicaraan yang dicadangkan.

Di hadapan Majistret Illi Marisqa, mahkamah itu menetapkan 28 dan 29 April 2025 untuk perbicaraan bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara di sini pukul 3 petang pada 29 Mac 2018.

Di hadapan Majistret Haneefa, mahkamah itu menetapkan 13 dan 14 Mei tahun sama perbicaraan menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di di Jalan Ampang di sini pada pukul 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Bagi dua kesalahan mendatangkan kecederaan itu pendakwaan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara di hadapan Majistret Farah Nabihah mahkamah itu menetapkan dua hari 5 dan 6 Mei bagi perbicaraan dua pertuduhan khianat itu merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan televisyen litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium.

Kesalahan itu didakwa dilakukakan di Taman U-Thant di sini pukul 7.44 dan 7.45 malam pada 28 Julai 2023.

Dua kesalahan khianat itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya sekali.

Dalam pada itu, bagi satu lagi pertuduhan, menyebabkan kecederaan iaitu menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada pukul 10.30 pagi 18 Oktober 2021, mahkamah menetapkan 11 November ini bagi serahan dokumen sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan bagi pertuduhan itu.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri,
Amritpreet Kaur dan Pegawai Pendakwa Shazwan Hasifi Shahrun manakala Norjuma diwakili peguam Faiz Kamal Jaafar.

Terdahulu Syafika Azwa dan Amritpreet memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan Norjuma untuk semua kes dibicarakan bersama ditolak.

“Permohonan itu ditolak kerana saksi dan mangsa dalam kes itu adalah berbeza,” kata Amritpreet.

Pada 25 April lalu, Norjuma, 44, mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan mencederakan dan khianat yang didakwa ke atasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI